•  Global
  •  Indonesia
Gagal Kawal Kewangan. Ketahui Pengurusan Kewangan Berhemah


Setiap orang mempunyai cara masing-masing dalam mengurus kewangan. Namun, jika tiada ilmu dan kesedaran tentang pengurusan kewangan maka seseorang itu boleh terjerumus dengan masalah hutang. Tabiat hutang yang tidak terkawal akhirnya akan menjadi punca individu diisytiharkan muflis. Pelbagai senario yang berlaku membuktikan tahap celik kewangan rakyat Malaysia di paras rendah. Menurut laporan akhbar Berita Harian sikap berhutang golongan belia amat membimbangkan. Golongan berusia antara 35 hingga 44 tahun paling ramai muflis iaitu 34.4 peratus daripada keseluruhan. Hutang kad kredit, pinjaman peribadi, kereta dan perniagaan antara punca mereka diisytiharkan muflis.

Kurangnya ilmu pengurusan kewangan boleh membawa pelbagai kesan buruk di masa akan datang. Sebaiknya amalan celik kewangan perlu dipelajari dan diamalkan diusia muda supaya boleh dipraktikkan hingga tamat tempoh persaraan. Menurut data yang dikeluarkan oleh KWSP, 70 peratus ahli yang mengeluarkan simpanan mereka pada usia 55 tahun menghabiskan wang tersebut kurang daripada 10 tahun selepas bersara.

Pendedahan awal tentang bijak kewangan terhadap golongan muda perlu dilakukan sebagai pencegahan. Ilmu ini perlu dipupuk dan dipraktikkan supaya mampu mengukuhkan kewangan anak muda. Antara perkara-perkara yang perlu ditekankan adalah seperti berikut:

1. Mulakan simpanan sebaik sahaja anda telah mempunyai pendapatan tetap dengan lakukan secara 'Force Saving'. Ketepikan sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan sebagai simpanan tetap. Paling baik jika anda berjaya mempunyai simpanan bersamaan 6 bulan gaji atau lebih.

2. Mempunyai sekurang-kurangnya perlindungan insurans takaful atau konvensional. Hal ini kerana peratusan penduduk yang mempunyai pelan perlindungan masih di tahap rendah iaitu 54%. Melindungi diri bermaksud jika berlaku apa-apa musibah terhadap anda maka insurans akan membantu meringankan beban kewangan yang bakal ditanggung waris atau anda sendiri.

3. Elakkan hutang jahat iaitu hutang kad kredit dan pinjaman peribadi. Mengapa ia dipanggil sebagai hutang jahat? Kerana kadar faedah yang dikenakan tinggi.

4. Tetapkan keinginan jangka masa panjang seperti ingin memiliki rumah, memiliki kereta, dan bebas hutang. Sediakan beberapa tabung untuk merealisasikan semua sasaran anda. Amalkan belanja mengikut atau di bawah paras kemampuan bukan melebihi pendapatan.

5. Mulakan amalan menabung sejak dari kecil kerana amalan tersebut dapat membantu untuk anda mendapatkan momentum hingga dewasa. Lebih mudah untuk mempratikkan sesuatu jika ia telah menjadi suatu amalan dan kebiasaan.

6. Kawal perbelanjaan dengan mementingkan keperluan berbanding kehendak. Anda perlu mempunyai displin dan tanggungjawab yang tinggi untuk memastikan anda berada di landasan yang betul. Langsaikan segala komitmen bulanan seperti ansuran rumah, kereta, pendidikan dan bil-bil berkaitan yang jauh lebih penting berbanding menukar telefon bimbit baharu.

7. Sebaik-baiknya elakkan tunggakan komitmen bulanan yang hanya akan menjerat diri anda dengan bebanan hutang. Tunggakan dua hingga tiga bulan hanya akan menyukarkan anda untuk melangsaikan jumlah keseluruhan hutang.