•  Global
  •  Indonesia
Mengapa Anda Perlu Membeli Insurans?


Perancangan kewangan pastinya amat diperlukan oleh setiap individu. Ia adalah jalan terbaik demi menjamin masa depan yang masih tidak diketahui bagaimana kesudahannya. Namun persoalannya adakah anda telah benar-benar dilindungi dari segi kewangan jika berlaku musibah seperti sakit kronik, hilang upaya kekal, atau kematian ke atas tunggak utama keluarga?

Adakah anda merasakan bahawa anda perlu perlindungan insurans untuk melindungi diri anda dan keluarga. Jika ya. Kenapa? Ayuh singkap.

Konsepnya sama seperti mengapa anda perlu membayar premium insurans kenderaan. Selain daripada diwajibkan, apa sebenarnya tujuan insurans kenderaan? Ia melindungi kenderaan anda daripada risiko kemalangan, kehilangan atau kecurian. Supaya anda tidak akan terbeban jika perkara yang tidak dingini berlaku.

Terdapat pelbagai polisi insurans di pasaran seperti insurans hayat, insurans kemalangan peribadi, insurans perjalanan, insurans sakit krtikal, insurans bertempoh dan lain-lain. Namun, sebelum membeli insurans anda perlu tahu perlindungan mana yang dapat memenuhi keperluan hidup anda. Malah, apa yang lebih penting anda perlu memahami skop perlindungan yang ditawarkan oleh polisi tersebut.

Pada masa kini masih ramai yang kurang kesedaran tentang kepentingan insurans. Malah, ada yang mengeluh kerana setiap bulan semua duit gaji habis untuk membayar komitmen, sehingga tidak mampu untuk ketepikan 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan untuk membayar polisi insurans. Ini kerana, kebanyakan individu mempunyai persepsi tiada kepentingan untuk melindungi diri dengan sebarang perlindungan insurans. Tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana ia hanya suatu pembaziran.

Setiap individu perlu tahu tentang manfaat insurans untuk melindungi pemegang polisi daripada sebarang risiko atau musibah seperti sakit kronik, kemalangan, hilang upaya kekal atau kematian. Namun masih ada segelintir golongan yang masih ragu-ragu dan berkira-kira memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli insurans sebagai perlindungan diri.

Berkemungkinan golongan ini masih kurang kesedaran mengenai kepentingan insurans dan merasakan mereka masih mampu untuk menampung kos rawatan kerana tidak pernah terfikir bagaimana jika suatu hari nanti mereka sebagai pencari nafkah ditimpa musibah. Ditakdirkan terlibat dalam kemalangan atau menghidap sakit kronik hingga menyebabkan mereka tidak mampu lagi untuk bekerja mencari rezeki.

Pada ketika itu mungkin anda sendiri sukar untuk menerima kenyataan kerana tidak sama sekali menyangka anda akan menghidap penyakit kritikal. Apa yang lebih membingungkan, bagaimana untuk menampung kos rawatan dalam keadaan anda yang tidak lagi mampu untuk bekerja.

Persoalannya kini, apakah perlindungan kewangan sebenar yang mampu menjamin anda ketika situasi sedemikian berlaku? Adakah melalui wang simpanan, kad kredit atau perlindungan insurans? Sekiranya anda memilih untuk menggunakan wang simpanan. Ia boleh diibaratkan umpama gunung jika ditarah lambat-laun akan rata jua. Begitu juga dengan wang simpanan, lama-kelamaan akan habis juga jika kita tidak bijak menggunakannya.

Apapun segalanya terpulang pada diri anda untuk merancang sebaiknya dalam memberi perlindungan terbaik buat diri dan keluarga. Perancangan kewangan yang bijak semestinya mampu memberikan manfaat kelak kepada diri anda sendiri.

Kesimpulannya, ia berbalik kepada kesedaran masing-masing dalam merencana dan melakukan persiapan masa depan. Ini kerana, semakin hari kehidupan semakin mencabar kerana perlu menanggung kos sara hidup yang saban hari semakin meningkat. Apapun, tepuk dada tanya selera. Pilihan sudah tersedia cuma anda perlu membuat pilihan yang terbaik mengikut keperluan diri.