•  Global
  •  Indonesia
Risiko Melancong Tanpa Insurans Perjalanan


Pernah atau tidak terlintas difikiran anda soal keselamatan diri atau sakit yang bakal menimpa diri sewaktu anda memulakan perjalanan ke luar atau dalam negara, sama ada untuk bercuti atau atas urusan kerja.

Oleh yang demikian, insurans perjalanan adalah penting demi melindungi diri anda daripada risiko yang tidak dijangka seperti sakit, kemalangan, hilang bagasi, kelewatan penerbangan atau bagasi, hilang dokumen perjalanan dan pembatalan penerbangan.

Insurans perjalanan juga penting jika anda adalah individu yang kerap mengembara di dalam atau di luar negara supaya anda tidak lagi bimbang soal perlindungan diri akibat musibah. Sekurang-kurangnya anda akan berasa lebih selamat dan terjamin walaupun anda berada jauh beribu batu jauh dari rumah anda.

Malah anda juga boleh memilih polisi secara tahunan jika anda sering membuat perjalanan ke luar negara. Ini kerana, ia lebih menjimatkan serta memberikan perlindungan secara komprehensif. Menerusi insurans perjalanan juga, perlindungan biasanya akan diberikan terhadap sesuatu perkara yang berlaku di luar jangkaan seperti kemalangan diri, kemalangan maut, hilang keupayaan, kelewatan penerbangan, hilang bagasi, hilang dokumen perjalanan, perbelanjaan perubatan dan penghantaran pulang jenazah.

Walau bagaimanapun, anda perlu terlebih dahulu memahami bahawa insurans perjalanan bukan suatu bentuk pelaburan namun ianya adalah suatu pembiayaan risiko. Ini bermakna, jika tidak ada perkara atau sebarang musibah sewaktu perjalanan berlaku ke atas diri anda maka tiada wang yang akan dikembalikan.

Apapun anda tidak perlu bimbang kerana setiap polisi insurans akan menetapkan syarat dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh setiap pemegang polisi. Malah, tuntutan pampasan juga perlu mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

Oleh itu, amat penting bagi anda yang ingin membeli perlindungan insurans perjalanan supaya membaca terlebih dahulu kandungan manfaat polisi serta syarat dan ketentuan yang termaktub dalam polisi supaya tidak akan timbul sebarang masalah sewaktu membuat tuntutan pampasan kelak.