•  Global
  •  Indonesia
7 Perkara Perlu Dicapai Sebelum Usia 30 Tahun


Memiliki Rumah Sendiri

Setiap individu pasti mempunyai keinginan untuk memiliki kediaman sendiri sebelum usia 30 tahun. Impian ini mungkin sukar dicapai jika tiada perancangan kewangan awal. Lakukan persediaan awal ambil tahu tentang ilmu pemilikan hartanah. Bukan sahaja tentang kos pembelian namun anda perlu tahu kos lain yang perlu dibayar selepas memiliki rumah sendiri. Sebagai contoh kos penyelenggaraan, cukai taksiran, cukai tanah, pembentungan dan sebagainya.

Pelbagai bantuan diberikan kerajaan untuk membantu golongan muda memiliki rumah. Namun yang paling utama anda perlu tahu mengurus kewangan dengan bijak sebelum terikat dengan komitmen lebih besar. Beli rumah mengikut berapa jumlah pinjaman bulanan yang anda mampu bayar bukan mengikut kelayakan jumlah pendapatan anda. Sebagai contoh pendapatan anda hanya melayakkan pinjaman lulus untuk rumah berharga RM450 ribu. Tetapi anda hanya mampu membayar pinjaman untuk rumah yang berharga RM300 ribu.

Perlindungan Insurans

Kadang-kala hal yang sering anda abaikan kebiasaannya akan menjadi hal paling penting. Lebih-lebih lagi jika melibatkan perlindungan kesihatan dan nyawa. Perkara yang perlu anda miliki setelah mempunyai pekerjaan adalah melengkapkan diri dengan perlindungan insurans. Sama ada takaful atau konvensional terserah kepada anda. Polisi jika dibeli pada usia muda, amaun yang akan dibayar lebih murah. Apapun bergantung kepada keperluan manfaat yang anda inginkan serta mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

Mempunyai Tabungan

Tabiat menabung harus dilakukan secara konsisten, mulai dengan ketepikan 10% daripada pendapatan untuk dimasukkan ke dalam akaun simpanan. Jika punya lebihan wang maka anda boleh menambah jumlah simpanan mengikut kemampuan masing-masing. Tetapkan jumlah sasaran yang ingin dicapai sebelum menjangkau usia 30 tahun dan cuba untuk capai sasaran tersebut.

Mengembara Seorang Diri

Sudah pasti anda telah mula stabil dari segi pengurusan kewangan dan masa jadi tiada salahnya untuk cuba menggembara seorang diri. Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk lebih mengenali kelebihan dan kelemahan diri apabila berseorangan di perantauan.

Bebas Hutang Jahat

Elakkan daripada membuat pinjaman peribadi, atau kad kredit. Hal ini, hanya akan mengakibatkan anda terikat dengan hutang yang mempunyai kadar faedah tinggi. Hal ini juga akan menyukarkan anda untuk bebas dari segi kewangan.

Memiliki Kenderaan

Setiap individu pasti mempunyai impian untuk memiliki kereta idaman. Namun bukan semua kereta idaman mampu dimiliki. Cara terbaik adalah dengan membeli kenderaan mengikut kemampuan kewangan. Di samping itu, dengan adanya kenderaan sendiri juga boleh membantu anda menjana pendapatan tambahan dengan menjadi pemandu e-hailing.

Mencabar Diri

Cuba lakukan perkara baru dan cabar diri untuk melihat potensi sebenar anda. Apa sahaja perkara yang ingin dilakukan sebelum ini namun tergendala akibat kekangan masa dan kewangan. Mungkin ini masa yang sesuai untuk anda merealisasikan impian tersebut. Sama ada anda memilih untuk melanjutkan pelajaran, melakukan aktiviti lasak atau melibatkan diri dengan aktiviti kebajikan. Masih belum terlambat untuk teruskan impian tersebut.