•  Global
  •  Indonesia
Ketahui Langkah Melangsaikan Hutang Jahat


Setiap individu pasti tidak dapat lari daripada dibelenggu oleh hutang. Rata-rata golongan muda sudah mula berhutang seawal usia apabila terikat dengan pinjaman pendidikan. Hutang ini adalah perlu terutama untuk mereka yang kurang bekemampuan dan tidak mempunyai dana pendidikan. Walaupun kadar faedah yang dikenakan rendah, namun bukan menjadi alasan untuk anda culas bayar dan terus dibelenggu hutang pinjaman pendidikan dalam tempoh yang lama.

Berbeza pula dengan hutang kad kredit dan pinjaman peribadi. Hutang seperti ini dikenali sebagai hutang jahat kerana kadar faedahnya yang tinggi. Akhirnya akan mengakibatkan anda terbelenggu dengan hutang untuk tempoh yang lama. Malah hutang ini jika tidak bijak dikawal akhirnya akan menjerumus anda ke kancah muflis.

Jadi apa yang anda boleh lakukan dalam usaha untuk melangsaikan hutang jahat? Segalanya harus bermula dengan pengurusan kewangan yang teratur. Anda harus pandai mengawal perbelanjaan serta tahu bagaimana untuk bebas daripada hutang jahat. Bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Harus utamakan keperluan berbanding kehendak. Pengorbanan perlu di sini demi mencapai matlamat. Gunakan bonus tahunan anda untuk membayar hutang yang mempunyai kadar faedah tinggi seperti kad kredit atau pinjaman peribadi. Ketepikan kehendak ingin menggunakan wang bonus untuk bercuti atau membeli barang idaman. Utamakan matlamat penting dengan memperuntukkan wang tersebut untuk membayar hutang. Jangan bertangguh!

Uruskan hutang kad kredit anda dengan bijak dengan memastikan tiada bayaran bulanan yang tertunggak. Hal ini kerana ingin mengelakkan daripada dikenakan kadar faedah. Jika tidak mampu bayar keseluruhan baki bulanan hutang. Cara lain yang boleh dicuba adalah dengan mengetahui jumlah maksima yang anda mampu bayar setiap bulan. Bayar lebih daripada kadar minimum supaya dapat mengurangkan baki hutang terkumpul dengan kadar cepat.

Tidak boleh dinafikan hidup akan pasti berhutang, namun jangan biarkan hutang menjadikan hidup anda tidak tenang. Perlu bijak menguruskan kewangan, jangan sesekali belanja melebihi pendapatan. Sikap konsisten perlu diterapkan supaya anda berada di landasan yang betul. Berbelanja secara bijak lakukan senarai setiap bulan segala perbelanjaan yang dikeluarkan untuk membayar hutang dan diri sendiri. Supaya anda mampu mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi had perbelanjaan. Amalan tambah hutang tutup perlu dielakkan sama sekali, bukan sahaja tidak membantu malah akan menambah beban kewangan sedia ada.