•  Global
  •  Indonesia
Adakah Persediaan Kewangan Anda Sebelum Bersara Sudah Mencukupi?


Hampir setiap orang pasti akan melalui hari tua dan pada satu ketika akan tiba masa untuk setiap daripada kita menempuhi zaman persaraan. Setiap individu yang bakal menghampiri waktu tempoh persaraan sudah tentu mempunyai impian untuk bersara dalam keadaan mempunyai wang persaraan atau pencen yang mencukupi demi menampung kehidupan berkualiti selepas persaraan.

Adakah persediaan kewangan anda sebelum persaraan mencukupi untuk menampung kos sara hidup dan kesihatan di hari tua kelak? Persoalannya, bukan lambat atau cepat keinginan anda untuk bersara. Namun, apa yang lebih penting adalah perancangan anda ke arah persaraan itu perlu dilakukan dari awal.

Ini bermakna melengkapkan diri dengan persediaan kewangan sebelum bersara amat penting. Oleh itu, mulakan perancangan seawal yang mungkin, walaupun untuk sampai ke tempoh persaraan tersebut masih panjang.

Persediaan awal penting kerana kos perubatan, pendidikan dan sara hidup semakin lama semakin meningkat. Berikut antara tips yang boleh diguna pakai dalam menyediakan persediaan kewangan sebelum bersara.

Membeli Insurans

Pembelian insurans amat penting dalam mengurangkan beban kewangan anda semasa tempoh persaraan kelak. Pembelian insurans diusia muda adalah suatu tindakan yang bijak demi menghadapi kos perubatan yang makin meningkat. Bukan itu sahaja anda juga akan dilindungi dengan perlindungan hilang upaya dan sakit kritikal. Jika hal ini berlaku sudah pasti anda ingni menjamin kualiti hidup dan tahap kesihatan selepas bersara.

Menentukan Keperluan Kewangan

Perkara ini mungkin dianggap mudah jika anda mempunyai pendapatan tetap setiap bulan. Namun, bagaimana jika anda sudah bersara kelak? Mungkin kini anda boleh menganggarkan berapa jumlah wang yang perlu digunakan setiap bulan untuk perbelanjaan harian dan membayar hutang.

Bagaimana pula selepas bersara nanti adakah anda akan bergantung hanya kepada simpanan, wang simpanan pekerja atau wang pencen? Oleh yang demikian, anda perlu tahu berapa jumlah peruntukkan yang diperlukan setiap bulan supaya anda tidak berbelanja melebihi had yang telah ditetapkan.

Bebas Hutang

Pastikan sebelum anda bersara anda telah melangsaikan 80 peratus hutang yang masih tertangguh. Contoh seperti hutang sewa beli kenderaan, kredit kad, pinjaman pendidikan atau pinjaman peribadi. Jangan sesekali menambah hutang baharu yang mengenakan kadar faedah yang tinggi.

Mula Melabur

Sekiranya anda hanya akan bergantung menggunakan wang simpanan pekerja dan simpanan tetap tanpa pendapatan sampingan. Jalan terbaik anda perlu membuat pelaburan dalam unit amanah, skim pelaburan persaraan atau anda juga boleh melabur dalam bidang hartanah yang kemudiannya boleh dijual atau disewakan demi mendapatkan pulangan. Pelaburan dalam bidang hartanah bukan suatu kerugian kerana semakin hari harga hartanah semakin tinggi.

Mula Menabung

Jangan berlengah dalam mulakan tabiat menabung. Permulaan memang sukar namun lama kelamaan anda akan terbiasa. Mulakan dengan jumlah kecil dan tetapkan tempoh masa. Sebagai contoh sebulan RM50 untuk tempoh 12 bulan. Kemudian perlahan-lahan naikkan jumlah simpanan untuk tahun yang berikutnya mengikut tempoh yang sama. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Selamat mencuba!!